Sunday 17 August 2008

Muktamar PAS kali ke-54


Ipoh yang menjadi destinasi muktamar kali ini dilihat begitu meriah dengan pelbagai isu. Program tahunan PAS ini berlangsung dari 13-17 hb Ogos ini bertemakan PAS Untuk Semua ini dilihat sebagai satu anjakan kepada parti Islam ini.

Isu-isu yang hangat dibincangkan ialah berkenaan muqobalah, hubungan Pakatan Rakyat, tarbiyyah dan juga da'wah bil hal. Apabila terlalu ramai perwakilan yang menyentuh tentang tarbiyyah, maka sewajarnya tarbiyyah itu dipandang serius oleh setiap ahli PAS dan juga bagi mereka yang menuntut di institusi pengajian milik parti.

Isu kelemahan tarbiyyah yang suatu ketika dulu adalah tunggak kekuatan parti dilihat sebagai suatu isu yang relevan yang patut dibangkitkan, melalui kekosongan program tarbiyyahlah dapat dilihat pada hari ini ahli PAS tidak mengenal wala', tidak menghormati keputusan majlis syura. Lebih-lebih lagi apabila isu muqabalah PAS-UMNO dimainkan.

Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden berkata"kita sekarang mengalami kemerosotan program tarbiyyah yang amat parah, kalau dulunya kita sentiasa melazimi usrah, tamrin dan mukhayyam, maka sekarang ini program-program sebegini tidak lagi mendapat perhatian. Usrah semakin perlahan, tamrin minta disingkatkan, mukhayyam jarang-jarang, yang jadi perhatian program makan ayam" dan disambut dengan sorak ketawa perwakilan lain. Katanya lagi "jika tamrin, masing-masing minta disingkatkan satu hari, kalau boleh lepas asar terus majlis penutup, takut sempat dengan qiamullail. sedangkan qiamullail adalah punca kekuatan kepada perjuangan"


Mantan HEP KUDQI, al-fadhil ustaz Mohd Noor Hamzah turut membahaskan ucapan dasar yang begitu memukau hadirin, dengan membentangkan 5 perkara penting yang perlu diteliti, ucapannya turut diakhiri dengan cerita berkenaan bagaimana situasi sebenar muqabalah PAS-UMNO yang diumpamakan bagai tiga sahabat yang disamun, lalu mengejar penyamun itu dan memebelasahnya. Kemudian salah seorang dari sahabat bertiga itu pergi ke arah penyamun itu walaupun ada suara-suara sumbang yang mengatakan yang seorang ini ingin berbaik dengan penyamun itu. Tapi yang seorang ini tetap pergi dan pergi itu bukanlah untuk berbaik, bahkan ingin menuntut hak yang dicuri oleh penyamun itu.

Begitulah diibaratkan PAS dan UMNO. PAS pergi dalam keadaan gagah untuk menuntut hak manakala UMNO yang sudah rebah itu terkial-terkial menyatakan kesediaannya untuk berbaik dengan harapan dapat memecahkan persahabatan 3 sekawan tadi.


0 ulasan:

Post a Comment