Sunday 12 April 2009

Ucapan pengerusi lajnah informasi

Alhamdulillah, bersukur kita ke hadrat Ilahi kerana Dia telah mengurniakan bermacam-macam nikmat-Nya kepada kita. Antaranya nikmat Islam dan iman. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw kerana melaluinya kita mengenal islam, iman dan ihsan. Oleh itu, kita sebagai umatnya harus meneruskan perjuangannya kerana kita ialah mata-mata rantai yang menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini supaya ditadbir mengikut perintah-Nya.

Allah telah mewajibkan kita menunaikan solat lima waktu. Dalam solat, jika kita membaca doa iftitah, maka terdapat salah satu daripadanya ungkapan yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kerana Allah Taala.” Oleh itu, fahamlah kita bahawa setiap perbuatan kita daripada zahir mahupun yang tersimpan dalam hati diketahui, dilihat, diawasi dan sebagainya oleh Allah. Sebenarnya kita telah berjanji di hadapan Allah untuk mengabdikan diri kepada-nya. Keyakinan ini mestilah secara total atau 100%.

Salah satu pengabdian yang telah kita ikrarkan kepada-Nya ialah mewakafkan diri demi perjuangan Islam. Kita mesti sanggup berkorban harta, tenaga, masa, jiwa dan raga. Inilah pergorbanan yang sepatutnya dilakukan semasa berjihad. Jihad tidak hanya terhad pada mengangkat senjata. Jihad mempunyai pengertian yang luas termasuklah menuntut ilmu dan mengajarkannya, menyampaikan dakwah dan sebagainya.

Sebagai contoh, kita boleh menggunakan medium ini, iaitu blog untuk menyampaikan perkara-perkara yang baik dan menyatakan cegahan bagi perkara-perkara yang mungkar. Selain itu, kita boleh bertukar-tukar fikiran atau maklumat tetapi perkara yang dibincangkan itu tidak mengfokuskan hal-hal furuk sahaja. Sebaik-baiknya blog ini dimanfaatkan untuk membincangkan masalah, kepentingan dan keperluan umat masa kini. Tujuannya supaya kita akan nampak kekuatan yang harus diusahakan manakala kelemahan pula harus diatasi.

Sekali lagi perlu ditekankan bahawa kita mesti berjihad kerana musuh-musuh Islam sedang berusaha menghancurkan kita terutamanya kepada golongan muda. Mereka menyerang kita melalui serangan pemikiran. Justeru, akidah yang mantap, iman yang kental, roh dan jiwa yang kuat merupakan senjata ampuh dan benteng pertahanan yang utuh bagi melawan serangan tersebut. Oleh hal yang demikian, ana menyeru kepada diri ana dan antum semua supaya muhasabahlah diri, nilai semula perkara baik dan buruk, jangan lupa dan alpa, dan berhati-hati pada setiap tingkah-laku kita.

Akhirnya saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kerja-kerja menyiapkan blog ini dengan jayanya. Segala yang baik itu adalah daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada daripada hamba-Nya yang lemah ini. Semoga dengan terhasil blog ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat untuk semua dalam menyebarkan kebenaran dan dakwah Islam. Wallahua’lam.





Mohd Khairul Bin Kamaruddin

Pengerusi Lajnah Informasi.

0 ulasan:

Post a Comment