Tuesday 10 January 2012

Belangsungkawa Serikandi Islam

Saat diri mu menghembuskan nafas yang terakhir, tatkala itu juga turunnya hujan untuk menemani pemergianmu. Disaat ramai manusia menangisi akan pemergianmu menemui sang Pencipta, maka ketika itu juga seluruh alam seolah-olah turut berdukacita. Tika mana kudratmu mengatakan tidak, dikau gagahkan jua untuk terus memberi walaupun semakin hari dimamah usia. Jasamu umpama gunung yang tinggi melangit tidak tercapai dek tangan menggapai, tidak terlihat dek mata yang memandang. Begitulah hebatnya perjuangan seorang serikandi Islam. Tidak kenal erti penat lelah. Dari menghayun buaian sehinggalah ke kuburan. Perjuangan tidak pernah ditinggalkan. Sehingga kembali bertemu Tuhan. Nama mu akan tetap di dalam ingatan. Itulah dia Tengku Aminah tengku Ali, 59, yang merupakan serikandi Islam yang baru sahaja meninggalkan kita. Allahyarhamah menghubuskan nafas terakhirnya pada jam 4.15 petang Isnin, 9 Januari di sisi suami serta anak-anaknya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.Beliau telah dimasukkan ke hospital akibat penyakit leukemia (kanser sel darah putih) yang baru dikesan sejak seminggu lalu.

Allahyarhamah merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus. Beliau telah memegang jawatan tersebut semenjak dari tahun 1992 sehinggalah ke akhir hayat beliau. Allahyarhamah juga merupakan isteri kepada Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Abdullah yang
merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu. Dan juga ibu kepada salah seorang mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) Tuan Arif Hamidi Bin Abu Bakar (gambar) yang sedang menuntut diperingkat diploma dalam bidang Usuludin tahun 2. Tuan Arif juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI bagi sesi 2011/2012.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Ustaz Abu Bakar melahirkan 13 orang anak terdiri dari lapan lelaki dan lima perempuan berumur antara 16 hingga 32 tahun serta mempunyai beberapa orang cucu. Solat jenazah yang dihadiri kira-kira 500 orang serta diimami sendiri oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, sudah cukup membuktikan betapa allahyarhamah cukup disegani dan mempunyai karisma yang tersendiri selaku serikandi pejuang Islam sejati. Akhir kata, semoga allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan semoga beliau mendapat pahala jihad yang sememangnya diidami oleh para pejuang Islam. Amin.

Salam hormat dan sanjung dari kami untuk Ibunda tercinta. Semoga seluruh pengorbanan dan keringat yang telah dikau curahkan menjadi pembakar semangat untuk kami meneruskan perjuangan yang bukan kami awali dan bukan juga kami akhiri ini hingga ke akhir hayat kami.



Sekian,

Wan Nabilah Solehah Binti Wan Abdul Razak
Timbalan Presiden II
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Kolej Universiti darul Quran Islamiyyah 2011/2012

0 ulasan:

Post a Comment