Thursday 24 April 2008

Tholib Ilm dan Matlamat

Menjadi seorang penuntut ilmu (tholib ‘ilm) di saat dunia berada di saat-saat akhir bukanlah satu perkara yang senang. Dengan cabaran dan ujian yang pelbagai, belum tentu kita dapat harungi liku-liku kehidupan selaku seorang penuntut dengan tenang. Namun itu bukanlah alasannya, memandangkan Rasulullah (s.a.w) juga lahir di dalam satu kelompok masyarakat yang cukup teruk tingkah laku dan gaya hidup mereka. Namun Rasulullah (s.a.w) tidak pula memandang semua ini sebagai satu halangan untuk baginda menyampaikan da’wah dan ilmu kepada masyarakat. Bahkan, Rasulullah sendiri mendapat tentangan hebat dari golongan sanak saudara baginda.

Menjadi penuntut pada mutakhir ini memerlukan daya penumpuan dan ketekunan yang amat-amat tinggi selaras dengan hujanan cabaran yang menimpa golongan yang menuntut ilmu agama khasnya. Apatah lagi bagi yang sudah amat arif dan selalu dikisahkan kepada mereka cerita tentang Imam Syafie yang mengadu kepada gurunya Waqi’ tentang prestasi hafalannya yang merosot. Lalu gurunya berkata, “tinggalkan maksiat, sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan datang kepada pelaku maksiat. Kisah ini cukup masyhur dan Imam Syafie sendiri mendendangkannya di dalam bentuk syair yang cukup terkenal itu. Maksiat sebesar manakah yang dilakukan oleh Imam Syafie sehingga menjejaskan hafalan beliau? Imam Syafie hanya tercetus di hatinya tentang kecantikan seorang perempuan setelah melihat hanya beberapa detik!!

Bagaimana pula agaknya kita yang belajar sekali? Bagaimana kita yang menjalin hubungan antara satu sama lain? Bagaimana pula kita yang bermesej-mesej mesra? Semua itu perlukan penelitian yang mapan sebelum kita salahkan kelemahan otak kita. Kerana saya percaya, masing-masing punya kekuatan untuk menjadi pelapis ulama, punya kemampuan untuk menguasai ilmu seperti sahabat-sahabat yang telah mampu menguasainya sebelum kita dan punya daya fikir yang kuat sekurang-kurangnya untuk menguasai 10-13 madah bagi satu semester.

Tidak mengapa jika kita tidak sehebat Imam Syafie di lapangan Fiqh, Hujjatul Islam Imam Ghazali di bidang Falsafah, Imam Bukhari di laman Hadith dan As-Suyuthi di bidang Tafsir. Namun, selaku penuntut, kita mesti berusaha ke arah itu kerana keperluan kepada orang yang menguasai ilmu cukup-cukup tinggi dasawarsa ini. Apatah lagi disaat dunia mengalami “islamophobia” yang memerlukan kepada penjelas ke atas setiap isu yang diketengahkan oleh mereka-mereka yang tidak pernah senang dengan Islam.

Di KUDQI, sebuah kolej atau kilang yang ironinya dilihat sebagai pengeluar para ulama’, para da’ie dan para ustaz, maka satu usaha perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar di sana untuk lebih berusaha ke arah itu. Amat malang jika kita keluar dari intitusi itu tapi tidak dapat memberikan hasil kepada masyarakat yang amat-amat memerlukan ilmu sekarang.

Apa yang ingin saya sentuh disini adalah tentang sikap mereka yang belajar tetapi tidak menunjukkan keperibadian pelajar. Amat malang lagi apabila masih ramai tidak dapat merubah trend membaca mengikut musim (imtihan), musim yang akan berlaku perkara pelik iaitu kita akan dapat melihat dan merasai bahawa kita dapat menghabiskan bacaan kita dalam satu malam sahaja. Tidakkah itu mengujakan andai kita dapat melakukan pada hari-hari biasa kita? Bayangkan betapa banyak sumber ilmu yang akan kita dapati jikalau kita mampu menghabiskan satu buku dalam semalam.

Memang betul kata pemberi motivasi, jika kita ada matlamat kita pasti akan berusaha melakukannya tanpa rasa jemu. Tak percaya? Saya bagi satu contoh yang cukup dekat dengan kita. Bermain bola sepak, masing-masing ada matlamat bermula dari penyerang yang bermatlamatkan gol, pertahanan yang bermimpi untuk tidak dilepasi penyerang dan penjaga gol yang bercita-cita untuk tidak melepaskan walau satu gol pun. Mereka ini akan bermain tanpa ada rasa jemu lebih-lebih lagi jika mereka ada matlamat tambahan iaitu menunjukkan “skill” pengawalan bola terbaik. Andai diaplikasikan kepada kehidupan kita sebagai penuntut, kita tidak akan jemu menuntut jika kita punya matlamat untuk berjaya lebih-lebih lagi mereka yang punya matlamat tambahan iaitu untuk memberi kepuasan kepada hati ibu bapa yang menghantar kita belajar ilmu Allah ini.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menginsafi diri kita, gilap kembali matlamat kita yang kian kabur, letakkannya ditempat yang jelas dan berusaha untuk mencapainya. Sesungguhnya Allah sentiasa menolong orang yang menolong agamaNya.

0 ulasan:

Post a Comment