Sunday 24 May 2009

Sambutan Hari Guru Peringkat KUDQI

Kubang Lembek, 24 Mei 2009 - Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI telah berjaya menganjurkan majlis sambutan hari guru peringkat kolej semalam. Presiden MPMKUDQI ketika ditemui semalam berkata, objektif sambutan hari guru ini adalah sebagai mengenang jasa guru-guru dan pensyarah yang tidak pernah jemu memberikan tunjuk ajar dalam melahirkan manusia yang muslim dari akidah, akhlak dan ilmunya. "Tak bermakna bila kita sambut hari guru, hari ini saja kita hormat guru. Hari-hari lain pun kami turut menghormati guru kami" katanya lagi.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari wakil Tuan Pengarah KUDQI iaitu Timbalan Pengarah, Ustaz Soud Said. Al-fadhil ustaz Mahmud tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan dari bahagian Hal Ehwal Pelajar yang menekankan tentang peraturan dan sikap yang perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar jika mereka benar-benar merasakan nikmat keberkatan dalam menghormati guru-guru.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan dari pelajar-pelajar. Mahasiswa tahun 1 mendendangkan nasyid yang bertajuk Guruku iaitu lagu yang pernah dipopularkan oleh Shoutul Amal manakala tahun 2 menghantar seorang wakil dengan lagunya Cinta Agung dan tahun 3 pula mendeklamasikan sajak yang bertajuk Guru Oh Guru nukilan Usman Awang.

Majlis berakhir dengan penyampaian saguhati, tayangan video dan jamuan. Hadirin beredar dari dewan kira-kira jam 12.50 tengahari.

0 ulasan:

Post a Comment