Saturday 12 December 2009

Selamat Bertugas!

Sudah hampir sebulan lebih Mesyuarat Agung MPM KUDQI 08/09 kali ke-8 berlalu. Mesyuarat yang berlangsung pada 3-4 November 2009 itu diharapkan memberi kesan yang positif ke arah merealisasikan perubahan bagi memantapkan segala gerak kerja pentadbiran KUDQI, MPM sendiri dan mahasiswa. Semasa mesyuarat itu berlangsung kelihatan warga KUDQI menginginkan perubahan.

Kehangatan isu-isu yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut kini mungkin sudah reda dan yang pastinya pelaksanaan kerja-kerja persatuan diuruskan oleh MPM & HESIS yang baru. Semoga perancangan baru yang tercetus daripada mesyuarat agung tidak seperti hangat-hangat tahi ayam. Sungguhpun demikian, perlantikan MPM & HESIS yang baru juga sudah sebulan berlalu. Jadi, segala gerak kerja masih dalam perancangan.

Adapun dengan blog ini, sudah sekian lama menyepi tanpa artikel yang baru. Oleh itu, penulis ingin memohon maaf! Dan ucapan terima kasih kepada pengunjung yang menegur dan memberi pandangan. Segala kesilapan, kekurangan, dan kelemahan yang terdapat dalam blog ini akan diperbaiki sedikit demi sedikit insya-Allah. Hal ini kerana perubahan yang hendak dilakukan memerlukan keadaan yang stabil dan tenang ibarat menarik rambut dalam tepung biar berhati-hati, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Oleh hal yang demikian, Pada hari Khamis, 10 Desember 2009 baru-baru ini, suatu majlis penyerahan watikah perlantikan MPM & HESIS KUDQI 09/10 telah diadakan. Watikah ini telah disampaikan oleh Ustaz Kamaruzzaman, HEP KUDQI disaksikan oleh mahasiswa KUDQI. Majlis berlangsung selepas solat zohor di musolla.

Sebelum itu, majlis ini telah disertai dengan perjumpaan mahasiswa bersama HEP. Banyak nasihat dan teguran diberikan daripada ustaz supaya kesilapan dan kelemahan dapat diperbetulkan yang melibatkan sahsiah, disiplin, akhlak, kebersihan dan akademik.

Akhir kata, semoga semua MPM & HESIS 09/10 dapat menjalankan amanah dengan baik dan bertanggungjawab. Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan. Ingatlah bahawa menjadi pemimpin bukan mendapat kemuliaan tetapi tanggungjawab. Dalam pada itu sentiasalah bersabar. Selamat bertugas!

0 ulasan:

Post a Comment