Tuesday 12 January 2010

Antara Sunnah Dan Tidak Tahu

Assalamualaikum w.b.t

Buat masa sekarang, tugas dakwah menjadi antara yang paling penting dengan kondisi yang ada di Malaysia ini, samada dari sudut mahukan Islam memerintah dan paling tidakpun mahukan Islam kekal di Malaysia dengan tidak menjadikan Islam sebagai agama kedua dalam negara ini pada masa-masa akan datang.

Saya tidak mahu bercakap tentang perkara berkaitan negara atau perlembagaan kerana saya tiada pengetahuan langsung untuk membolehkan saya membahaskannya di sini. Pendek cerita, saya mahu membahaskan tentang pengetahuan seseorang tentang sunnah dalam mengelakkan perkara bid'ah dan adakah pengetahuannya itu atas dasar 'kaji dan tahu' atau 'dengar tanpa kaji dan tahu'.

Contoh mudah, saya bercakap-cakap dengan kebanyakan orang yang berkebetulan mengaji agama berkenaan dengan wirid selepas sembahyang jika kita selaku imam.

"Ana tengok, ramai orang tak buat wirid selepas sembahyang kan? Ma'thurat apatah lagi." Saya memulakan soal.

"Biasalah tu, wirid ni bukan sunnah, masa zaman Nabi dulupun, Nabi tak buat wirid-wirid ni, masing-masing berzikir sendiri dan berdoa dengan mengikut hajat masing-masing" terangnya panjang lebar.

"Oo, tapi kalau ana suh yang tak wirid tu baca bacaan wirid tu, agak-agak enta boleh tak?" Saya menyoal kembali.

"Er.. Yang tu kena buat ujian r sekali, baru boleh tahu mana yang tahu mana yang tidak" jawabnya.

Benar seperti katanya, wirid seperti sekarang ini tidak berlaku semasa Nabi masih menjadi imam sembahyang, ianya berlaku zaman mutakhir ini sebagai cara mengajar makmum yang tidak tahu dan sebagai cara mendidik makmum agar kekal di tikar sembahyang buat seketika bagi meraikan hadith Nabi s.a.w berkenaan istighfar malaikat buat mereka yang tinggal di tempat sembahyang selama mana mereka belum berganjak.

Tapi soalnya, adakah dengan bangun meninggalkan wirid, dan mengatakan bahawa perkara itu sunnah dalam masa yang sama sebenarnya kita tidak tahu bacaan wirid yang dibuat? Ini salah. Suasana masyarakat yang sangat memerlukan bimbingan sekarang ini menjadikan kita wajib mengingati wirid dalam salah satu usaha kita untuk mendidik masyarakat.

Balik ke rumah nanti, pak imam tua yang sudah gok gek-gok gek bacaannya pastilah mahu menyerahkan pula kepada kita si imam muda, tidakkah begitu? (Kecuali kita ini bukan seorang pengunjung surau atau masjid.) Lalu, dengan menggantikan pak imam, takkanlah abang imam seperti kita mahu sewenang-wenangnya mengubah stail mereka yang biasa berwirid dengan serta merta?

Ingat, orang hisap rokok, kalau disuruh berhenti serta merta, pasti perasaan gelisah meresap setiap kali selepas makan, begitu juga wirid. 20 tahun mereka berwirid, tiba-tiba bila kita menjadi imam, kita tidak melakukan wirid, pasti gelisah otai-otai surau kita ini, merasa seperti tidak cukup sempurna solat mereka hari itu tanpa wirid.

Jadi, cara yang sepatutnya digunakan, buktikan dulu kita juga tahu wirid dan apabila sampai ketikanya, beritahulah mereka bahawa sunnahnya sekian-sekian dan wirid ini pula sekian-sekian. Melakukan wirid tidaklah salah dan tidak melakukannya tidak juga salah. Barulah budaya ilmu berkembang dengan tidak ditentang-tentang oleh mereka yang taassub. Perlu kena caranya.

Lihat Almarhum Ahmed Deedat, beliau tidak mempunyai masalah menghafal Bible disamping tidak melupakan al-Quran dan hasilnya, beliau mampu membuatkan musuhnya iqna' dan mengangguk-angguk dengan kebenaran al-Quran. Sebagai yang mempunyai cita-cita sebagai pendakwah, wajib bagi kita meletak asas pengetahuan beraqidah sebagai perkara nombor wahid dalam kepala otak kita. Wajib!

Jadi, permulaannya buat kita di sini, hiasi surau atau musolla kita dengan kehadiran semua, latih diri untuk menjadi imam dan rajin-rajinlah buat homework untuk mendepani makmum-makmum di kampung pula. Jika tidak kita, siapa lagi?

Artikel ini boleh dibaca dengan versi asal di sini .

0 ulasan:

Post a Comment