Saturday 26 November 2011

Perutusan Tahun Baru Hijrah 1433



Assalamualaikum w.b.t…

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah yang ke 1433 pada tahun ini, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung di dalam peristiwa Hijrah yang merupakan peristiwa besar di dalam sejarah umat Islam yang telah berlaku kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda. Hasil dari pengorbanan baginda dan para sahabat maka, pada hari ini kita dapat mengecapi berbagai nikmat yang tidak dapat dirasai dan diperolehi oleh umat-umat yang lain yang terdahulu daripada kita. Antara lain nikmat yang paling besar yang tidak dapat dihitung oleh jari-jemari kita ialah nikmat Iman dan Islam.

Maka pada hari ini kita telah diberi kemuliaan oleh Allah s.w.t hasil daripada pengorbanan tersebut dengan agama Islam yang kita anuti sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

Kita adalah satu kaum yang diberi kemuliaan dan kehebatan oleh Allah dengan Islam, maka jika sekiranya kita mencari kemuliaan dan kehebatan selain dari Islam nescaya kita akan mendapat kehinaan dan kemurkaan daripada Allah.

Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan juga para sahabat mestilah dijadikan inspirasi dan pedoman kepada seluruh pendokong-pendokong perjuangan Islam bagi menghadapi hari-hari yang mendatang. Sama ada ianya terdiri dari kalangan mahasiswa, ahli akademi, ahli gerakan Islam mahupun orang awam yang mahu melihat agama Islam terus berdiri teguh.

Harus juga diingat, bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah pada kali ini yang disambut oleh kita dengan penuh kemeriahan dan kesejahteraan. Maka janganlah kita melupakan sahabat-sahabat kita yang menyambutnya dengan bedilan peluru dan bom.

Marilah kita mendoakan kesejahteraan dan keselamatan ke atas mereka agar terus tetap dan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenarnya seterusnya diberikan kemenangan oleh Allah s.w.t di atas kesungguhan dan pengorbanan mereka demi mempertahankan agama Islam.

Justeru itu, dengan penuh harapan kami dari barisan kepimpinan mahasiswa KUDQI bagi sesi ini mengajak kepada seluruh warga mahasiswa, pensyarah, dan kakitangan KUDQI dan seluruh umat Islam agar kita terus tetap dan berpegang teguh dengan kemuliaan dan kehebatan yang telah diberikan kepada kita seterusnya sama-sama untuk kita berkorban memperjuangkan agama Islam yang kita cintai ini dengan mengikut cara yang telah diajarkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta para Sahabat riduanullahi a’laihim ajmai’n.

Akhir kata, kami dari barisan kepimpinan MPMKUDQI mengucapkan Salam Ma’al Hijrah kepada seluruh warga mahasiswa, pensyarah, dan kakitangan KUDQI serta seluruh muslimin dan muslimat. Semoga kita semua sentiasa diberkati dan dirahmati olehNya. Amin..

“JATI AQIDAH PEMANGKIN KECEMERLANGAN”
“KESATUAN FIKRAH TRANSFORMASI KECEMERLANGAN”



MUHAMMAD NASIRUDDIN OTHMAN

Presiden,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah 2011/2012.

0 ulasan:

Post a Comment