Tuesday 20 December 2011

HUDUD - Bukan Barang Siulan

Bismillahir Rahmanir Rahim..

وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Bermaksud : … dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

Hari ini ramai yang memperkatakan tentang Hudud yang merupakan perkara yang berkaitan dengan perkara jenayah dan hukumannya di dalam Islam. Ada yang bersetuju dengan pelaksanaannya dan ada juga di kalangan yang tidak bersetuju. Bahkan ada juga yang menghina akan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam Al-quran sejak 1430 tahun yang lampau. Al-quran diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia adalah sebagai petunjuk dan rahmat di sepanjang zaman. Maka apa-apa yang terkandung di dalamnya adalah benar dan berpatutan serta tidak lapuk ditelan zaman. Ianya merangkumi segala aspek kehidupan manusia dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya. Sama ada ianya merupakan suruhan, larangan, amaran, pengajaran dan sebagainya.

Justeru itu bagi umat Islam yang benar-benar beriman dengannya maka wajib mereka percaya dan tidak meragu-ragukannya. Kerana perbuatan seperti ragu-ragu atau tidak percaya akan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT boleh membawa seseorang itu terkeluar dari landasan Islam yang sebenarnya. Apatah lagi jika sekiranya menafikan ataupun menghina dengan mempersendakan akan segala apa yang terkandung di dalam Al-quran dan juga Hadith Nabi SAW yang menjadi petunjuk akhir zaman. Al-quran ibarat pemandu yang memandu manusia ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT dan menjadi tempat rujukan kepada segala permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan manusia seluruhnya.

Maka dengan rahmat dan adilnya Allah SWT, Dia tidak menciptakan manusia kemudian membiarkan begitu sahaja tanpa diberi panduan dan rujukan hidup. Akan tetapi, Allah SWT bukan sahaja menurunkan sebuah kitab yang penuh dengan petunjuk dan panduan bahkan, Allah SWT telah mengutuskan seorang Nabi dan Rasul sebagai pengantar yang menjelas dan mengajar umat manusia akan isi kandungannya seterusnya menjadi pedoman di sepanjang zaman.

Sehubungan dengan itu, kami dari Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah menyeru dan mengajak kepada mereka yang tidak bersetuju agar kembali melihat kepada isi ajaran Islam yang sebenarnya dan kami mengutuk sekeras-kerasnya bagi mereka yang menghina dan mempersenda-sendakan hukum tersebut. Sama ada dalam bentuk tulisan, percakapan mahupun dalam bentuk video klip dan sebagainya. Kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menghina hukum Allah SWT semata-mata akan tetapi ianya juga telah menghina kesucian agama Islam itu sendiri dan boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari landasan Islam. Nau’zubillah..



“JATI AQIDAH PEMANGKIN KECEMERLANGAN”
“KESATUAN FIKRAH TRANSFORMASI KECEMERLANGAN”





MUHAMMAD NASIRUDDIN OTHMAN

Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah 2011/2012





0 ulasan:

Post a Comment