Sunday 25 December 2011

WANITA - Dilindungi Bukan Disakiti


Datangnya Islam sesungguhnya membawa rahmat kepada seluruh alam. Ianya termasuklah kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan serta bukit-bakau. Maka apatah lagi kepada manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Justeru itu, berbuat baik dan berlaku adil amatlah dituntut di dalam Islam. Firman Allah s.w.t :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Bermaksud : Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
(an-Nahl : 90)

Adil di sini memberi makna yang luas. Sehinggakan di dalam peperangan juga Nabi Muhammad s.a.w telah berpesan kepada para sahabat agar berlaku adil dengan tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dari etika peperangan yang antara lainnya tidak boleh membunuh orang-orang yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Sehubungan itu, rentetan dari insiden yang membabitkan sekumpulan askar yang menarik rambut para pembantah wanita, memijak-mijak mereka dan menanggalkan pakaian salah seorang daripada mereka dalam satu bantahan minggu lalu di Kaherah, Mesir. Berpandukan apa yang telah dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada para sahabat di atas.

Kami nyatakan di sini bahawa kezaliman dan penindasan terhadap kaum wanita yang lemah dan tidak berdaya adalah perbuatan yang terkutuk dan tidak bermoral. Pihak yang terbabit haruslah dipertanggungjawabkan di atas kebiadapan yang dilakukan. Kami juga menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab agar lebih menjaga tatasusila dan kelakuan agar perkara tersebut tidak lagi berulang.

Wassalam.



Abu Ubaidah Omar
Pengerusi Lujnah Hubungan Luar,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah 2011/2012.

0 ulasan:

Post a Comment