Sunday 17 May 2009

Perasmian Program Sukan dan Kebudayaan

Kubang Lembek, 17 Mei – Pada pukul jam 12.30 tengah hari, seperti biasa waktu itu bagi mahasiswa KUDQI ialah waktu tamat kelas. Jadi, waktu yang singkat itu telah dimanfaatkan oleh lajnah Sukan dan Kebudayaan untuk mengadakan suatu majlis perasmian bagi program “Minggu Sukan dan Kebudayaan”.



Majlis itu bermula apabila semua mahasiswa KUDQI telah berkumpul di Dewan Besar KUDQI. Acara dimulakan dengan kata-kata aluan dan pembukaan surah al-fatihah daripada pengerusi majlis, iaitu saudara Maula. Seterusnya majlis menjemput saudara Muaz selaku Pengarah Program untuk menyampaikan ucapannya. Selepas itu, majlis menjemput Ustaz Ismail Osman untuk menyampaikan ucapan perasmian.



Dalam majlis itu, Ustaz Ismail Osman bukan sahaja merasmikan program Minggu Sukan dan Kebudayaan, bahkan merasmikan program penutup bagi tiga buah lajnah yang telah mengadakan program masing-masing sebelum ini. Antaranya ialah Lajnah Kebajikan bagi program Bulan Kebersihan dan Keceriaan, Lajnah Ekonomi bagi program Seminggu Bersama Ekonomi dan Lajnah Informasi bagi program Sayembara Kreatif.



Selepas perasmian program, acara seterusnya ialah penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang menyertai pertandingan anjuran daripada ketiga-tiga lajnah tersebut. Tujuan acara ini dihimpunkan sekaligus kerana hendak menjimatkan masa mahasiswa dan pensyarah KUDQI. Selain itu, sambutan daripada mahasiswa bagi majlis ini adalah sangat baik dengan suasana yang meriah, hidup dan lebih harmoni.



Walau bagaimanapun bentuk sesuatu majlis itu diadakan, perkara yang lebih penting ialah sentiasa saling mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain, bekerjasama dan lain-lain bagi menjayakan program di samping tetap menjaga batas-batas syariat al-Quran dan hadis. Semoga setiap aktiviti yang dilakukan mendapat keredhaan Allah serta balasan baik daripada-Nya.

1 ulasan:

Post a Comment