Wednesday 24 February 2010

Nabiku Muhammad



Kelahiran Nabiku Muhammad adalah satu titik mula yang besar dalam sejarah peradaban manusia dan membawa kemurungan dan kebimbangan kepada kuasa-kuasa besar yang ego untuk mengikut agama yang dibawa baginda. Dengan kelahiran seorang bayi terpilih dari kalangan bangsa Arab yang kebanyakannya buta huruf lantas memadamkan api Majusi yang besarnya bukan senang untuk dipadamkan begitu sahaja.

Lahirnya baginda adalah rahmat sekalian alam, memang benar-benar manusia terpilih, manusia yang mendapat didikan secara terus dari Allah sebagaimana sabdanya :

أدبني ربي وأحسن تأديبي

Apa tidaknya, tatkala mahu pergi ke majlis keraian yang dilakukan oleh orang Arab pada ketika itu pun, Allah lantas mendatangkan mengantuk yang amat sangat hingga majlis yang ingin disertai baginda terlepas begitu sahaja. Bahkan auratnya juga dipelihara Allah bilamana baginda yang melakukan kerja-kerja untuk membaikpulih Kaabah dan mahu menyingkap kain hingga ke paras peha untuk memudahkan kerja baginda terus dipengsankan oleh Allah. Begitulah Nabiku Muhammad yang selama ini sunnah pengajarannya dicerca bahkan dikatakan pula kaki perempuan oleh pihak musuh yang jahanam itu.

Nabiku Muhammad adalah seorang yang amanah, amanah yang membolehkannya mendapat gelaran al-Amin di kalangan penduduk Makkah, amanah yang mendapat kepercayaan setiap suku yang hampir berperang kerana berebut mahu meletakkan batu dari Syurga, Hajarul Aswad ke tempat asalnya agar diadili oleh nabiku Muhammad. Amanah yang meletakkan nabiku sebagai orang yang diberi kepercayaan oleh orang yang tidak mengimaninya untuk menyimpan barang-barang berharga. Amanah yang jika dikatakan ada musuh mahu menyerang dari balik bukit berhampiran, tiada alasan untuk orang Makkah tidak mempercayainya hinggalah kenyataan baginda bahawa Allah itu satu dan baginda adalah pesuruh dan utusan Allah yang satu itu, sepantas itu jugalah orang-orang Quraisy mendustakannya.

Nabiku Muhammad adalah manusia berjiwa besar, tidak pernah mengambil jalan untuk bermusuh dengan mad'unya selagi perisytiharan perang tidak diturunkan oleh Allah s.w.t. Besar yang memilih untuk menunggu anak-anak Thaif menerima Islam berbanding tawaran malaikat penjaga bukit yang mahu menghempapkan bukit itu ke atas kepala orang-orang Thaif yang biadap terhadap nabiku Muhammad dengan sikap mereka memilih untuk melontar batu bagi mengiringi ketidakrelaan mereka menerima dakwah yang menyebabkan nabi berdarah hingga ke kaki walaupun Zaid bin Harithah membentengi baginda dari terkena batu. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad adalah orang yang berjiwa kuat, kuat menahan dugaan dan cubaan, kuat dalam mempertahankan agama Allah. Kuat yang menjadikannya tetap kekal tegar bersama-sama para sahabat dalam menahan lapar dalam peristiwa pemulauan Bani Hasyim, kuatnya Baginda dalam menahan asakan musuh dalam perang Uhud hingga patah gigi nabiku Muhammad s.a.w walaupun sahabat-sahabat baginda telah hilang punca kerana menyangkakan bahawa Nabi telah tiada.

Sekuat itulah juga baginda menahan cercaan yang dilemparkan kepadanya bersama-sama najis, perut-perut haiwan, ludahan musuh bahkan batu besar yang pernah cuba dihempap Abu Jahal ke atas kepala baginda ketika sedang sujud sebelum diselamatkan Allah dengan unta yang cukup besar dengan mulut ternganga seperti mahu menelan Abu Jahal. Laknat Allah jua ke atasnya dan ke atas Uqbah bin Abi Mu'it yang pernah menjerut leher nabiku Muhammad hingga tercekik tidak boleh bernafas sebelum diselamatkan Abu Bakar. Laknat ke atas mereka.

Nabiku Muhammad adalah manusia yang punya keyakinan dan matlamat yang jelas. Matlamat dan keyakinan yang mampu menjanjikan kepada Suraqah bin Malik akan gelang kebesaran Kisra Parsi walaupun ketika itu baginda hanya bersama Abu Bakar sahaja. Nabiku adalah orang yang bekerja mengejar matlamat yang ditetapkannya itu, bukan hanya sekadar bermatlamat tanpa bekerja untuk mencapainya.

Nabiku adalah orang yang mampu membina pengaruh dan kesannya masih lagi dirasai hingga sekarang. Baginda adalah manusia yang menyebabkan orang yang benar-benar beriman kepadanya sanggup menahan panah dan tombak pihak musuh dengan batang tubuh mereka sendiri. Orang-orang yang mencintai mati sebagaimana musuh mereka mencintai hidup dan melahirkan sahabat-sahabat yang berjuang hanya kerana Allah dan tidak mengejar perkara lain melainkan menang dengan bergaya atau mati dengan janji syurga. MasyaAllah, Nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad juga adalah orang yang menyebabkan Umar ingin memancung sesiapa yang berani mengatakan bahawa baginda telah wafat dek kerana terlalu sayangkan baginda dan tidak boleh menerima bahawa baginda telah tiada. Abu Bakar membaca ayat berikut untuk menenangkan Umar :

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Ali Imran :144

Nabiku yang disaat kematiannya menyebabkan Jibril berpaling muka dari baginda kerana tidak sanggup melihat baginda menanggung sakit sakaratul maut, berpeluh nabiku yang mulia saat dicabut nyawanya perlahan-lahan oleh Izrail. MasyaAllah nabiku Muhammad.

Nabiku Muhammad jua membawa nostalgia kepada zaman selepasnya apabila muazzin di zamannya yang keluar dari Madinah dan pulang lantas mengumandangkan azan menyebabkan orang yang mendengar azan laungan Bilal bin Rabah itu menangis dan merasakan bahawa nabi hidup kembali kerana panggilan solat oleh muazzin Nabi itu. Madinah syahdu mengenangkan nabiku Muhammad. Kehilangan yang cukup besar.

Selawat serta salam ke atas nabiku Muhammad yang menyebarkan Islam hingga turut dapat dikecap oleh ummat akhir zaman sepertiku dan mereka yang mengimani bahawa maulidur Rasul ini bukan berarak semata-mata, bahkan ianya lebih kepada Islam secara keseluruhan.

Marilah sama-sama kita mempertahankan jalan yang dibawa oleh baginda s.a.w dengan segala yang kita ada. Kita bukan apa-apa jika kita tidak memilih Islam sebagai ad-Deen. Jangan memilih untuk melaksanakan sunnah, laksanakanlah secara keseluruhannya.

Allahumma Solli Ala Muhammad, wa ala alihi wa sohbihi ajma'in...

Salam Maulidur Rasul dari Majlis Perwakilan MPMKUDQI

Dikutip dari benkareem

0 ulasan:

Post a Comment