Sunday 25 April 2010

Masjid tak patut jadi medan politik?

Kenyataan menjadikan masjid sebagai gelanggang politik telah kerap kali kita dengar dan selalunya isi kuliah atau khutbah yang cenderung ke arah menghentam kerajaan akan dipolemikkan sebagai menyalahgunakan masjid sebagai medan berpolitik.

Jarang sekali dibangkitkan jika isi khutbah yang menceritakan kebaikan kerajaan dengan unsur-unsur bodek yang jelas sebagai menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.

Sebagai pelajar, saya merasa cukup terkilan bila Islam dipandang sesempit itu. Bila politik diasingkan dari Islam maka ianya tidak cukup syarat untuk dibawa ke dalam masjid. Mungkin kerana itulah pendidikan yang sepatutnya menjadi hebat dengan menjadikan masjid sebagai medium kelihatan mundur dan kurang menarik. Mungkin ada masjid yang mempunyai acara yang menarik tetapi hanya boleh dikira dengan jari.

Saya setuju jika maksud berpolitik itu adalah politik yang melampau dan jahat, tetapi tidak wajar jika ianya dipukul rata dengan mengatakan bahawa tidak boleh berpolitik dalam masjid kerana ianya jelas menyimpang dengan apa yang diamalkan oleh Nabi S.A.W.

Ya, mungkin ramai yang berpendapat, zaman dahulu tiada bangunan khas untuk melaksanakan urusan pentadbiran. Tapi hujah dangkal itu tidak layak untuk menjadi hujah bahawa masjid perlu bebas politik.

Politik cara Islam adalah politik yang mementingkan persepsi Allah dan RasulNya, maka tidak hairanlah jika kerajaan melakukan kesalahan ianya ditegur melalui khutbah dan kuliah kerana konsep politik Islamnya begitu. Tidak seperti Machiavelli yang menghalalkan cara demi menggapai matlamat. Menghilangkan kesalahan pemerintah dengan menyebut kebaikan dan kesejahteraan yang dibawa mereka.

Oleh itu, saya menempelak kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Sahibus Samahah Mufti Perlis kerana kenyataan mereka yang melarang menggunakan masjid sebagai medan berpolitik atas alasan memecahkan perpaduan rakyat.

Saya merujuk kepada fatwa keharusan berpolitik dalam masjid oleh tokoh Maal Hijrah kebangsaan tahun lalu, Syeikh al-Qaradhawi dalam bukunya Fatawa Muasarah mukasurat 335. Wassalam.

Mohd Ridhuan Abdul Karim
Mantan Pelajar Usuluddin Tafsir
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah.

0 ulasan:

Post a Comment