Monday 23 January 2012

Selamat Tahun Baru Cina

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Bersempena dengan Tahun Baru Cina kali ini, rasanya masih belum terlambat untuk kami dari seluruh barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah mengucapkan selamat menyambut hari perayaan tersebut kepada seluruh masyarakat Tionghoa khususnya kepada mahasiswa/wi yang berbangsa Cina.

Islam menyuruh agar seluruh manusia bersatu dan saling hormat-menghormati sesama mereka tidak mengira warna kulit, keturunan, bangsa dan agama. Ianya juga adalah merupakan suruhan dan tuntutan yang dinyatakan oleh AlLah di dalam Al-Quran.

Firman AlLah s.w.t :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Bermaksud : “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

(al-Hujurat : 13)

Justeru itu, marilah sama-sama kita mengeratkan lagi ukhuwah dan perpaduan sesama kita khususnya kepada mereka yang bergelar mahasiswa/wi. Kita leburkan dinding serta benteng yang selama ini mengekang kita semua untuk bersatu. Islam adalah suatu ajaran yang membawa Rahmat kepada sekalian alam.

Maka di sini termasuklah juga mereka-mereka yang tidak beriman kepada AlLah. AlLah tidak menyuruh umat manusia berbalah dan berkelahi sesame mereka. Bahkan Islam yakni AlLah, menyuruh kita semua agar berbuat kebaikan tidak kira kepada siapa. Sama ada kepada non-muslim, mahupun sesama orang-orang yang beriman.

Dengan itu, kami dari Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah mengajak seluruh mahasiswa/wi yang seagama ataupun tidak agar kita semua bersatu dan bersama dalam merealisasikan impian kita bersama. Demi melihat keluarga, keturunan, masyarakat serta Negara kita mendapat Berkat dan Rahmat serta Kesejahteraan dari Yang Maha Kuasa.

Sekian, terima kasih.


Abu Ubaidillah Omar
Pengerusi Lujnah Hubungan Luar,
Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah 2011/2012.



0 ulasan:

Post a Comment